Kurang makan sayur dan buah boleh menyebabkan najis keras dan kering
RAMAI yang tidak suka berbual mengenainya, terutama di meja makan atau dengan orang yang belum lagi menjadi teman yang mereka boleh bertepuk tampar.
Sungguhpun begitu, ia tetap merupakan isu yang menyusupi fikiran dari masa ke masa.
Topik yang dimaksudkan ialah najis kita dan berapa kerap kita ke tandas dan senang atau susahnya kita melepaskan 'hajat' apabila berada di 'bilik termenung'.
Bagaimanapun, memang wajar ia difikirkan kerana keadaan najis yang bersangkut paut dengan usus, melambangkan tahap kesihatan tubuh kita.
Presiden Kolej Gastroenterologi Amerika Syarikat, Dr Amy Foxx-Orenstein, berkata: 'Saluran usus kita ialah unit pemprosesan bagi semua khasiat makanan yang kita makan dan unit untuk mengeluarkan semua yang tidak dikehendaki. Lantas, apa yang keluar daripadanya menggambarkan sejauh mana tahap kesihatan atau penyakit yang ada dalam tubuh kita.'
Berikut adalah penilaian tentang najis kita:
Keras dan kering
Masa yang diambil oleh makanan untuk melalui sistem usus dan akhirnya keluar daripada dubur, memberi kesan kepada keadaan najis kita.
'Perjalanan makanan di usus hingga ia keluar memakan masa purata 40 hingga 45 jam,' kata Dr Foxx-Orenstein. Jika ia berada di usus lebih lama daripada itu, cecairnya akan diserap semula ke tubuh.
Beberapa jenis ubat seperti ubat darah tinggi dan ubat untuk merawat murung, boleh melambatkan perjalanan makanan di usus.
Sembelit, yang bersebab daripada beberapa punca, juga boleh menyebabkan najis menjadi keras dan kering.
Bagi sesetengah orang, memakan makanan yang kaya kandungan tenusu (makanan diperbuat daripada susu), boleh menyebabkan sembelit. Badan yang kering juga boleh menyebabkan sembelit kerana jika kita kurang minum, badan akan menyerap apa saja baki air dalam tubuh.
Berketul-ketul kecil
'Najis yang ideal harus kelihatan seperti torpedo. Ia harus besar, lembut dan mudah keluar,' kata Dr Foxx-Orenstein.
Tetapi, jika ia kurang ideal, ia boleh kelihatan seperti peluru kecil. Sekali lagi keadaan ini boleh disebabkan oleh masa lama yang diambil oleh makanan untuk melalui usus hingga najis kehilangan air, menjadikannya keras.
Kurang memakan serat juga boleh dipersalahkan kerana serat seperti sayur dan buah-buahan, boleh menampung air.
Cair berair
Ingatlah, tubuh kita mengeluarkan kira-kira lapan liter air dalam sehari - daripada perut, kelenjar air liur dan pankreas - untuk membantu pencernaan makanan dan melancarkan perjalanannya dalam sistem penghadaman.
Dalam keadaan normal dan sihat, kebanyakan cecair kita diserap sepanjang jalannya hingga menghasilkan najis yang lembut. Tetapi, jika perjalanan makanan itu terlalu pantas, tiada masa bagi cecair untuk diserap secukupnya, menyebabkan najis menjadi terlalu lembik dan cair.
Punca-punca keadaan ini ialah terlalu banyak serat dalam diet atau jangkitan bakteria atau virus.
'Apabila berlaku jangkitan, badan kita mengeluarkan toksin yang menyebabkan air dilepaskan daripada tubuh,' jelas Dr Michael Farber, pengarah Program Kesihatan Eksekutif di Pusat Perubatan Universiti Hackensack di Amerika.
Halus macam pensil
Secara khusus, najis yang halus boleh merupakan petanda barah atau polip iaitu tumbuhan dalam usus.
'Apabila terjadi tumbuhan di usus yang menyebabkan hadangan, maka benda yang ingin melaluinya pasti mengecut menjadi halus. Jika ini berterusan, anda harus berjumpa doktor,' kata Dr Farber.
Pucat atau kelabu
Najis yang normal boleh mempunyai pelbagai warna yang dipengaruhi oleh makanan atau ubat, selain faktor-faktor lain.
Tetapi, jika najis anda berwarna agak pelik seperti terlalu pucat atau kelabu, maka mungkin ada yang tidak kena di usus anda.
Organ hati kita mengeluarkan hempedu untuk mencerna lemak-lemak dalam makanan kita dan hempedu juga memberi warna kepada najis. Namun, jika terdapat hadangan di organ hati itu atau di tiub tempat hempedu itu berlalu, maka najis boleh mempunyai warna yang terlalu pucat.
Anda juga boleh mempunyai najis yang kelabu jika mengalami masalah pankreas yang mengeluarkan enzaim penghadaman yang memberi warna kepada najis.
Merah terang
Usah panik jika melihat najis anda merah. Ia mungkin disebabkan oleh makanan yang anda makan beberapa jam lebih awal.
Tetapi, jika anda nampak jelas ada darah, maka sah, ada pendarahan di mana-mana dalam usus anda. Namun, usah panik kerana ia mungkin hanya bawasir yang tidak membahayakan atau satu luka kecil di dubur kerana sembelit.
Bagaimanapun, baik juga anda berjumpa doktor untuk mengesan masalahnya yang sebenar.
Hitam macam tar
Makanan tambahan zat besi yang dimakan secara sendiri atau dicampur dengan vitamin lain, boleh meninggalkan kesan warna hitam pada najis.
Tetapi, jika anda tidak memakan vitamin zat besi sejak akhir-akhir ini, maka wajarlah anda berjumpa doktor.
'Jika terdapat pendarahan di bahagian atas usus seperti di perut atau esofagus, najis boleh menjadi hitam dan seperti tar,' terang Dr Foxx-Orenstein.
Terapung-apung dan busuk
Najis ideal yang seperti torpedo itu seharusnya tenggelam sebaik ia masuk ke dalam mangkuk tandas. Namun, jika tubuh tidak menyerap dengan baik lemak dalam makanan yang dimakan, ia akhirnya keluar bersama najis.
Hasilnya: warna najis menjadi kuning, berminyak, busuk dan terapung-apung.
Beberapa masalah kesihatan seperti penyakit penghadaman disebut 'celiac disease', boleh menyebabkan masalah penyerapan serat ini. Bau busuk juga boleh disebabkan oleh memakan makanan yang mengandungi olestra (lemak tiruan yang terdapat dalam beberapa snek goreng) dan memakan beberapa jenis ubat untuk menurunkan berat badan.
Normal dan tidak normal
Berapa kalikah sehari kita harus membuang air besar dan berapa lama kita harus menghabiskan masa di tandas yang dianggap normal?
Tiada jawapan betul bagi soalan ini. Dr Foxx-Orenstein berkata: ' Tiada masa, tempoh atau kekerapan yang dianggap normal untuk anda membuang air besar. Apa yang 'normal' berbeza daripada seorang ke seorang.
'Sehari sekali, tiga kali sehari, dua hari sekali - ini semua boleh diiktiraf 'normal' dan menyihatkan bagi individu berlainan. Tetapi jika rutin ini berubah, anda haruslah menyiasat puncanya. Jika anda lebih kerap membuang air besar, mungkin anda makan serat berlebihan, atau jika anda mengalami sembelit, perhatikan apa yang anda makan.' - MSN Health & Fitness.
thanks for the info
ReplyDeleteGood info..
ReplyDeletethanks for the information :)
ReplyDeleteBagaimana kalau najis berbau masam?mohon pencerahan
ReplyDelete